![]()
Galeri Muslim Bonda Shafiya
Himpunan tudung untuk tetap tampil cantik dalam nuansa beribadah kepada Allah. Khidmat Reka Grafik & 3D Model 3D, animasi, logo, kad perniagaan, kepala surat & lain oleh Sera Bagus. |
saya sera, dan ini honeybiru.Nama saya Sera. Nama ayah saya Musa. Kami, dan ibu, 100% berketurunan Jawa. Nama ibu saya Nursiah, nama ayah ibu saya Ihsan. Nama ibu ibu saya, saya tak tahu. (Apabila saya kata saya tak tahu, betul saya tak tahu. Saya sedang berusaha.) Nama ibu ayah saya Parijam. Nama ayah ayah saya Wagiman. Saya tidak tahu sama ada ayah dan ibu ibu saya dilahirkan di Ulu Tiram atau di Pulau Jawa. Ketika saya dilahirkan ke dunia, kedua-dua mereka telah tiada. Tapi saya tahu ibu ayah saya dilahirkan di Bukit Pasir dan ayah ayah saya dilahirkan di Jawa Tengah sekitar 1900. Keluarga ayah ayah saya bertongkang ke Tanah Melayu dan mendarat di Muar ketika ayah ayah saya berumur tujuh tahun. Kini mereka menetap di Tanjung Sedili dekat dengan rumah ayah saya, masih gagah berkebun. Walaupun nama saya Sera dan saya tidak tahu bertutur Jawa, saya tetap Jawa. Saya dilahirkan di Johor Bahru pada Februari 1979 ketika ayah saya berkhidmat sebagai Tentera British. Saya mempunyai seorang abang Dali, seorang kak Wati, seorang Kekda, seorang Ameen dan seorang Rai. Menjadi Sera, hidup saya sangat-sangat sempurna. Tapi apabila Tuhan ambil ibu ketika saya masih tidak faham semua, dunia saya telah jadi gelita. Saya telah belajar di banyak sekolah—Tadika Sawah Ring, SK Sawah Ring, SK Sri Setia Jaya, SA Seri Mahkota, SM Tan Sri Jaafar Albar, SM Ulu Tiram, SA Ulu Tiram, Maktab Rendah Sains Mara Muar, Kolej Mara Banting, dan sebuah universiti kejuruteraan yang saya rahsiakan, juga sebuah universiti kesenian yang (tidak lagi) saya rahsiakan. Saya tidak habiskan A-Level kerana kerajaan tidak beri kebenaran, saya tidak habiskan kejuruteraan kerana Tuhan tidak memberi izin. Tapi ilmu di universiti kesenian, itu adalah cerita yang lain. Ini pula jurnal saya. Saya mula ada dia ketika di Sekolah Tan Sri lagi. Lepas dua bulan di Kolej Mara, saya namakan dia Honeybiru, sama dengan nama saya. Pada April 1999, ketika belajar di universiti kejuruteraan yang saya rahsiakan, saya internetkan Honeybiru untuk diri sendiri. Saya menulis untuk saya, tidak menulis juga untuk saya, bukan untuk disiarkan di majalah-majalah, dan diberi hadiah di majlis-majlis rasmi yang saya tidak pergi, sehingga hari demi hari Honeybiru dibaca oleh orang yang tidak saya kenal, dan dibaca orang yang saya kenal, seperti surat khabar yang ditatap pagi-pagi, dan dibaca lagi dan lagi. Saya tidak berniat untuk dikenali. Saya akan lari jika didekati, dan bersembunyi jika ditaksubi. Saya bukanlah seorang Sera yang lawa. Setakat saya hidup, saya hanya mempunyai seorang bekas pakwe yang tidak berguna. Tapi itu bukan masalah kepada saya. Saya menghidapi Major Depression yang harus dinikmati, yang saya Bahasa-Melayukan ia sebagai Keruntunan Maharajalela. Saya pernah dirawat lebih daripada sepuluh pakar sakit jiwa, dan dua orang pakar psikologi, dari tiga hospital kerajaan dan satu hospital swasta bersilih ganti. Saya juga pernah melanggan lebih daripada tujuh jenis pil nyah-runtun pelbagai bentuk, warna, rasa dan kesannya. Bertahun-tahun, Keruntunan Maharajalela itu masih ada, bahagia bersama saya. Ketika doktor-doktor psikiatri berusaha merawat saya, saya sendiri maklum akan puncanya—hidup saya masih sengsara walau ibu telah lama tiada. Ibu saya adalah segala-galanya. Tidak pernah sehari pun berlalu tanpa saya berfikir tentang ibu saya sebab saya terlalu, terlalu rindukan dia. Saya sentiasa mengharapkan ibu saya kembali ke dunia dan hidup dengan saya, di depan mata saya, seperti orang lain yang hidup bahagia bersama wanita yang melahirkan mereka. Jangan berkata kepada saya semua itu tak akan berlaku, saya sudah banyak kali diberitahu. Pada Honeybiru, saya tulis tentang keseraan saya. Dan kehidupan saya yang macam kaca. |
terkini
aku tiada 29 dia sabar adalah kaca sampai terhenti nafas pada nyawa 80km/j sahaja walau rambutnya masih tiada mana sharlinie? teka siapa? selalu kategori
arkib
kawan
link
honeybiru
|